
Seperkara
yang menyedihkan saya ialah apabila menyaksikan semakin ramai ibu-bapa yang
dibuang oleh anak-anak mereka sendiri samada di hospital, rumah orang-orang tua
dan ada juga yang dibuang ke masjid atau ke surau.
Kalau
dulu, perkara seumpama ini banyak berlaku di kalangan masyarakat Cina
terutamanya di kalangan mereka yang berada tetapi kini ianya telah menular
kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Semakin
kerap kedengaran berita anak-anak yang sibuk dengan kerjaya mereka menghantar
ibubapanya ke rumah kebajikan orang tua. Apalagi apabila anak yang beragama
Islam itu menghantar ibu atau ayahnya ke rumah kebajikan orang tua bukan Islam
yang menjadi pilihan untuk dia membuang orang tuanya!
Tidakkah
mungkin mereka berusaha mendapatkan pembantu rumah yang boleh menjaga dan
membantu urusan kehidupan orang tua yang dahagakan kasih sayang mereka dan
cucu-cicit mereka?
Sudah
tiada tempatkah untuk orang tuanya di rumah kebajikan Islam? Mungkin juga dia
merasakan orang tuanya akan dapat layanan terbaik di sana atau ada niat yang
tersirat dalam memerli orang tuanya?
Saya
sangat khuatir bahawa anak-anak yang kurang adab dan akhlaknya kepada orang tua
mereka ini akan menerima nasib yang sama atau mungkin lebih teruk apabila
mereka sendiri meniti usia senja nanti.....!
Kasihanilah
ibu bapa dan garaplah kehebatan syurga melalui kasih-sayang dan bersabar dengan
karenah ibu bapa yang berada di penghujung usia.
Sesungguhnya
budaya menghormati dan mengasihi ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni,
damai dan tenang dalam keluarga. Mari kita perhatikan maksud hadith Rasulullah
saw ini sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dan berkasih-sayang
dengan ibu bapa.
"Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati
orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami." (Hadis riwayat
Tabrani)
Dalam
hadith yang lain, baginda mengatakan bahawa perbuatan menderhaka kepada kepada
ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
"Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan
menderhaka kepada dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Ingatlah
saudaraku,
Syurgamu
kelak adalah pada redha ibumu, redha ibumu, redha ibumu dan juga pada redha
bapamu.....!
Hello matte nice post
ReplyDelete