Antara kelebihan umat Nabi Muhammad s.a.w. ialah ucapan Amin, yang bermaksud, Ya Allah perkenankanlah doa kami. Keistimewaan ini adalah antara beberapa keistimewan umat Nabi Muhammad s.a.w yang menimbulkan rasa hasad kepada orang Yahudi. Sabda Rasulullah s.a.w

Yang bermaksud: “Perkara yang menjadikan Yahudi berasa dengki kepada kamu ialah kerana kamu dikurniakan ucapan salam dan Ta’min (Amin).” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).



Dalam hadith lain:

Ertinya: “Orang Yahudi berasa dengki kerana kita dikurniakan solat Jumaat oleh Allah S.W.T. kerana kita telah diberi petunjuk, sedang mereka telah sesat dengannya. Allah S.W.T. telah menentukan Qiblat yang menjadi petunjuk kepada kita dan mereka sesat dengannya dan kerana ucapan Amin kita di belakang imam.” (Hadith Riwayat Ahmad)

Dalam hadith lain:

Ertinya: “Sesungguhnya orang Yahudi jemu terhadap agama mereka dan mereka bersifat dengki, mereka hasad kepada muslimin kerana tiga keistimewaan iaitu jawapan salam, solat jemaah bersaf dan ucapan Amin di belakang imam ketika solat fardhu.” (Hadith Riwayat al-Thabrani)

Rasulullah s.a.w berbangga dengan beberapa pemberian Allah S.W.T. Hal ini dijelaskan oleh hadith,

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberi kepadaku tiga perkara: Allah S.W.T memberi aku solat bersaf, al-Tahiyat, sesungguhnya tahiyat adalah ucapan ahli syurga, kemudian mengurniakan ucapan Ta’min (Amin). Allah S.W.T tidak pernah mengurniakan kepada seorang Nabi pun sebelumku (ucapan Amin) kecuali kepada Nabi Harun, iaitu ketika Nabi Musa berdoa lalu Nabi Harun mengaminkannya.” (Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Ucapan Amin adalah satu pintu daripada pintu keampunan. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith:

Yang bermaksud: "Apabila imam berkata (غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّين) maka hendaklah kamu kata Amin. Sesungguhnya orang yang beriringan ucapan Aminnya dengan Amin malaikat, maka Allah akan menganpunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah). 

Keampunan tersebut termasuklah untuk semua jemaah masjid kerana An-Nasa’I meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadith:

Yang bermaksud: “Maka sesungguhnya siapa yang berkebetulan ucapannya (ucapan Amin) dengan ucapan (Amin) malaikat akan diampunkan dosa orang berada di dalam masjid.” (Hadith Riwayat An-Nasa’i)

Rasulullah s.a.w memberi jaminan bahawa siapa yang berkata Amin akan diperkenankan oleh Allah doanya dengan katanya, “hendaklah kamu kata Amin nescaya Allah mengkabulkan.”

Hadith menjelaskan yang bermaksud: “Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w pada suatu malam lalu kami menemui seorang lelaki merayu-rayu dalam do’anya dan Rasulullah s.a.w. berhenti untuk mendengarnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Do’anya pasti akan dikabulkan jika dikhatamkan.” Lantas seorang lelaki bertanya, “Dengan apakah ia perlu dikhatamkan?” Lalu Rasulullah s.a.w menjawab, “Dengan lafaz Amin. Sekiranya dia berbuat demikian do’anya pasti akan dimakbulkan. Selepas itu orang yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w itu pun berlalu. Kemudian Rasulullah s.a.w menemui lelaki yang berdoa itu seraya berkata: “Tamatkanlah do’a kamu dengan Amin dan bergembiralah kamu (dikabulkan).” (Hadith Riwayat Abu Dawud).

Orang mukmin itu bersama dengan saudaranya yang mukmin dalam berdoa dengan memohon dan mengharap diperkenankan Allah S.W.T Hal ini dinyatakan di dalam hadith yang bermaksud:

“Apabila para pembesar yang berhimpun lalu sebahagian mereka berdoa sedang sebahagian yang lain mengaminkan nescaya doa itu akan diperkenankan oleh Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat al-Hakim)

Oleh itu sesiapa yang tidak mengucap amin maka ia tidak memperolehi apa-apa. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bandingan orang yang tidak mengucap Amin seperti seorang yang akan diundi samada ia turut berperang dengan kaumnya atau tidak. Kemudian ia tidak terpilih lalu ia bertanya kenapa anak panahku tidak terpilih? Begitulah perumpamaannya bagi orang yang tidak menyebut “Amin”. (Hadith Riwayat Abu Yakli)

Hadith tersebut di atas menyatakan perbandingan orang yang tidak menyebut Amin bersama Imam kerana lupa dan lalai memberi perhatian kepada bacaan imam, mereka serupa dengan tentera yang berperang serta dapat harta rampasan. Kemudian mereka berkumpul untuk membahagikan harta rampasan dan membahagikan hadiah, tetapi seorang daripada mereka tidak memperolehi sesuatu. Ia rugi kerana tidak mendapat sesuatu daripada harta rampasan itu lalu dia bertanya kepada ketua tentera, kenapa aku tidak memperolehi bahagianku? Jawab ketua tentera, sebab awak tidak mengucapkan bersama orang yang berkata Amin.

Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Oleh itu Rasulullah s.a.w menyuruh kita memperbanyakkan mengucap Amin dengan sabdanya, “Banyakkanlah berkata Amin.”

Wallahua’lam..

sumber

Advertisement

0 comments:

Post a Comment

Selamat Datang ke Laman Rasmi Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu
 
Top